Saturday, July 25, 2009

Kebajikan Sosial Dalam Konteks 1 Malaysia

Malaysia adalah sebuah negara kebajikan dalam segala aspek pembangunan rakyat yang berterusan dan perkara ini bukan lagi impian atau angan-angan kosong serta telah mendapat pengiktirafan banyak pihak berkenaan perkara ini. Pendekatan Islam sendiri telah menggambarkan secara jelas dan tuntas realiti Malaysia sebagai sebuah negara kebajikan dan hakikat ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Prinsip Islam antaranya memperjuangkan asas utama negara kebajikan iaitu kerajaan yang adil dan beramanah; pembangunan ekonomi yang seimbang dan komprehensif; kehidupan yang berkualiti; dan pembelaan hak kaum wanita dan minoriti di Malaysia. Ini membuktikan bahawa negara telah berjaya memenuhi kehendak dan elemen penting negara kebajikan. Matlamat Perdana Menteri juga yang mahu negara kita berlandaskan 1 Malaysia wajar dikaitkan. "Rakyat didahulukan, percapaian diutamakan".
Sebagai sebuah negara kebajikan yang moden dan berjaya, Malaysia sejak sekian lama telah berjaya menyediakan pendidikan rendah dan menengah secara percuma serta pelbagai insentif, bantuan kewangan dan biasiswa bagi membiayai pelajar di peringkat universiti. Ini tidak termasuk sokongan kewangan dalam bentuk elaun latihan kepada pelatih guru, polis, askar, jururawat dan sebagainya bagi merealisasikan kehendak negara kebajikan dalam usaha kerajaan melahirkan modal insan yang berkualiti.Sejak dahulu lagi golongan miskin, fakir dan kurang upaya (OKU) tidak kira jantina dan bangsa mendapat pembelaan sewajarnya dari kerajaan dalam bantuan kewangan sara hidup, peluang pekerjaan, bantuan pendidikan, perumahan dan perniagaan dan lain-lain dengan pelbagai bentuk skim diwujudkan bagi memastikan golongan ini tidak ditelan arus perdana dan sama-sama berkongsi kemakmuran negara. Kejayaan negara menurunkan indeks kemiskinan di negara kita sudah cukup membuktikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara kebajikan yang cukup berjaya dan terkehadapan dalam usaha membasmi kemiskinan biarpun masalah ini amat subjektif dan relatif di dalam kehidupan seharian.
Dalam konteks negara kebajikan yang sebenar ialah kerajaan yang dipilih perlu berusaha memastikan keselamatan, kepentingan, kemakmuran dan keamanan rakyat terbela serta diberikan keutamaan di mana usaha ini memerlukan sokongan padu dari rakyat untuk menjayakannya. Jika rakyat hanya menjadi pemerhati dan menyerahkan tugas tersebut kepada kerajaan bulat-bulat sahaja tanpa melakukan apa-apa tindakan serta mahu semuanya secara murah dan percuma, sudah tentu negara akan terus mundur, muflis dan tertinggal di belakang. Kata-kata motivasi bekas Presiden Amerika Syarikat Abraham Lincoln bahawa "jangan tanya apa yang dibuat oleh negara untukmu, tetapi tanyalah apa yang boleh kamu buat untuk negara" wajar dihayati oleh semua pihak dalam perkara ini.

0 Comments:

Post a Comment